Gemuruh Suara

Wednesday 10 February 2016

ISU TENTANG KOMANWEL


Hadiri CHOGM 2013, Malaysia hormati prinsip Komanwel




COLOMBO 17 Nov. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau menghadiri Mesyuarat Ketua- ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2013 di sini atas prinsip menghormati Komanwel dan nilai-nilai yang didokong oleh badan itu.

Najib berkata, beliau mengetuai kerajaan Malaysia pada CHOGM ke-22 di sini kerana Sri Lanka adalah tuan rumah bagi CHOGM kali ini, dan tidak ada kena-mengena dengan isu hak asasi yang dikaitkan dengan negara ini.

"Saya hadir (CHOGM di Sri Lanka) sebagai menghormati Komanwel dan tidak harus disalah fahamkan ada kaitan dengan isu hak asasi kemanusiaan di negara ini.

''Ini adalah mesyuarat CHOGM di Sri Lanka dan bukan mesyuarat CHOGM mengenai Sri Lanka,'' katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan CHOGM di sini, yang berakhir hari ini.

Najib berkata demikian bagi menjelaskan bahawa CHOGM 2013 tidak menyentuh langsung sebarang isu mengenai hak asasi kemanusiaan di Sri Lanka.

CHOGM di sini mencetuskan kontroversi apabila Perdana Menteri Britain, David Cameron yang turut menghadiri CHOGM di sini semalam, mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan Sri Lanka menjalankan penyiasatan bebas berhubung dakwaan jenayah perang semasa tentera Sri Lanka menggempur habis-habisan gerila Pembebasan Harimau Tamil Elam (LTTE) pada 2009.

Cameron memberi amaran, jika kerajaan Sri Lanka gagal menjalankan penyiasatan bebas menjelang Mac 2014, Britain akan mendesak supaya satu penyiasatan antarabangsa ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Ketika ditanya lebih lanjut, Najib berkata, CHOGM 2013 di sini berjalan dengan baik dan berjaya walaupun diselubungi dengan kontroversi.

Kejayaan pertama, katanya, CHOGM berjaya mengukuhkan penghayatan negara-negara anggota Komanwel kepada nilai-nilai utama yang terkandung dalam Piagam Komanwel termasuk prinsip demokrasi, mendokong prinsip undang-undang dan hak asasi manusia.

Kejayaan kedua, katanya, ialah tema CHOGM kali ini iaitu 'Pertumbuhan Saksama: Pembangunan Inklusif' boleh diterjemahkan dalam dasar-dasar domestik negara- negara anggota.

Dalam konteks ini, negara-negara anggota Komanwel boleh bertukar-tukar maklumat, pengalaman serta membuat penambahbaikan di negara masing-masing untuk kebaikan rakyat dan negara masing-masing, tambah beliau.

Najib berkata, kejayaan ketiga ialah negara-negara anggota Komanwel boleh menggunakan CHOGM untuk membawa hasrat dan harapan Komanwel pada persidangan yang lebih besar yang boleh membuat keputusan seperti Persidangan Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO) di Bali tidak lama lagi.

Kejayaan keempat ialah Komanwel membuktikan ia mampu menjadi pemimpin yang memperjuangkan kepentingan sejagat berhubung isu-isu antarabangsa seperti kemiskinan, pendidikan dan perubahan iklim serta memainkan peranan menentukan masa depan Komanwel dan dunia, katanya.

Perdana Menteri turut mengesahkan bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah CHOGM 2019.

"Malaysia juga akan menjadi tuan rumah bagi dua persidangan besar lain iaitu Sidang Kemuncak ASEAN pada 2015 dan Persidangan Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada 2020,'' tambah beliau.

Najib berlepas dari Colombo ke Bangladesh petang ini untuk lawatan selama tiga hari.

CHOGM akan datang pada 2015 akan diadakan di Malta. - UTUSAN

Sumber Rujukan : http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131118/dn_02/Hadiri-CHOGM-2013-Malaysia-hormati-prinsip-Komanwel#ixzz3znfVD3tW

No comments:

Post a Comment