Gemuruh Suara

Wednesday 10 February 2016

ISU TENTANG OIC

OIC gesa tangani isu imigran Bangladesh, Rohingya

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Iyad Ameen Madani, menggesa agar diperbaharui usaha menangani isu pendatang tanpa izin Rohingya dan Bangladesh bagi mengelakkan masalah itu dari menjadi semakin buruk.

OIC dalam satu kenyataan berkata, Madani telah menghubungi negara-negara di rantau ini dan masyarakat antarabangsa bagi melahirkan kebimbangannya terhadap krisis kemanusiaan dan membincangkan cara-cara untuk meringankan penderitaan mereka yang terjejas.

Madani mengambil perhatian bahawa situasi itu mengingatkan tentang "kesempitan ditanggung rakyat Rohingya yang dinafikan hak asasi kemanusiaan mereka".

Yang demikian, beliau merayu kepada kerajaan Myanmar agar membuka pintu untuk membolehkan bantuan kemanusiaan sampai kepada masyarakat itu.

Pertubuhan Bangsa Bersatu menyifatkan Rohingya sebagai kumpulan minoriti agama dan linguistik dari bahagian barat Myanmar yang paling terhimpit di dunia.

Namun, menurut laporan, Myanmar enggan mengiktiraf penduduk Muslim yang tinggal di bahagian barat negeri Rakhine sebagai "Rohingya".

Mereka memanggil mereka 'Bengali' yang membayangkan bahawa mereka pendatang tanpa izin dari Bangladesh.

Di Malaysia, laporan menyatakan bahawa kira-kira 1,158 pendatang tanpa izin Bangladesh dan Rohingya, termasuk kanak-kanak dan wanita mendarat di Langkawi, dikatakan jumlah terbesar pada sekali pendaratan setakat ini.

Indonesia difahamkan memberi perlindungan kepada sekitar 1,500 orang hanyut.

Bangkok memanggil mesyuarat 15 negara 29 Mei ini bertujuan menyelesaikan krisis berkenaan, namun Myanmar membayangkan ia tidak akan hadir. - Bernama


Sumber Rujukan : http://www.sinarharian.com.my/nasional/oic-gesa-tangani-isu-migran-bangladesh-rohingya-1.391586

No comments:

Post a Comment